Isnin, 8 November 2010

Model-model Pengajaran

MODEL-MODEL PENGAJARAN

1) Model Ekspositori
Ekspositori diambil dari perkataan “expose”. Jika dirujuk dalam kamus, ia membawa erti “mendedahkan”. Jadi, “mendedahkan” di sini bermaksud “memberi penerangan yang jelas dan terperinci.” (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2010)
Dalam konteks pengajaran, ekspositori merupakan penyampaian maklumat atau isi kandungan pelajaran secara langsung kepada murid-murid di dalam kelas. Oleh itu, kaedah ekspositori ialah menyampaikan pelajaran melalui penerangan,bercerita atau demonstrasi. Menurut model ini,guru akan memberi penerangan terlebih dahulu dan murid mendengar dengan teliti sehingga mereka memahami dan mengingatinya atau merekodkan isi pentingnya dalam buku rekod mereka. Model ini sesuai digunakan untuk menerangkan konsep, fakta, hukum, prinsip atau teori Matematik atau semasa membuat eksperimen Sains.
Model ini telah diperkenalkan oleh Ausebel yang mana beliau menekankan penerangan guru dalam bentuk fakta yang lengkap dan tersusun. Beliau menegaskan lagi bahawa sesuatu pelajaran sepatutnya dikembang dalam bentuk deduktif yakni daripada am kepada spesifik atau daripada prinsip kepada contoh. Dalam model ini, Ausebel juga memperkenalkan teori penyusunan awal (advance organizer) yang mana ia menghubungkan konsep baru dengan konsep yang telah dipelajari. Terdapat tiga tujuan penggunaan teori ini iaitu member gambaran tentang isi penting sesuatu pelajaran, menjelaskan hubungan antara konsep yang akan diterangkan dan menggerakkan minda murid supaya mengingat kembali konsep yang telah dipelajari.
Menurut Ormrod (2006), model ini adalah kaedah terbaik dalam menyampaikan fakta kepada murid kerana ilmu diperoleh melalui penerimaan ilmu dan bukannya melalui penemuan sendiri. Segala fakta, prinsip dan idea yang diterima juga akan terurus dengan baik kerana maklumat baru diintegrasikan dengan pengetahuan yang sedia ada melalui bantuan guru.

2) Model Tingkah Laku
Ia adalah antara model pengajaran yang terawal yang melibatkan penggunaan rangsangan dan gerak balas. Ini bermaksud, setiap perlakuan atau tingkah laku yang dihasilkan bermula daripada rangsangan-rangsangan tertentu. Di antara tokoh ilmu pendidikan yang mengaplikasikan model ini ialah Ivan Pavlov, John B.Watson, Edward L.Thorndike dan B.F. Skinner.
Mengikut model ini, hubungan di antara rangsangan dan gerak balas sangat penting kerana manusia bertindak dengan adanya rangsangan. Tindakan ini pula akan dilakukan dengan lebih kerap atau berulang-ulang sekiranya manusia diberi ganjaran positif. Sebaliknya, jika ganjaran yang diberikan adalah negatif, seseorang akan berasa serik dan enggan untuk mencuba lagi. Seorang murid yang dapat menjawab soalan dengan betul telah dihadiahkan sebuah buku oleh gurunya berasa gembira dan lebih bersemangat untuk belajar berbanding dengan murid yang sering dimarahi guru kerana asyik menjawab soalan dengan salah. (Hazril Jamil, Hashim Othman, Rohizani Yaakub, 2004)
Jika dilihat dari pespektif Islam, kaum Muslimin berasa lebih cenderung untuk menambah amalan kebajikan kerana Allah telah berjanji untuk memberi mereka ganjaran pahala. FirmanNya dalam surah AL-Kahfi yang bermaksud:

“Adapun orang-orang yang beriman dan beramal saleh, Maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami".(Al-Kahfi:88)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa barangsiapa yang berbuat amalan yang baik, maka akan dikurniakan pahala oleh Allah. Justeru, para guru adalah digalakkan untuk menerapkan pendekatan pengukuhan positif (positive reinforcement) kepada setiap murid, tidak terkecuali murid-murid yang lemah supaya setiap daripada mereka akan terus bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.

3) Model Pemprosesan Maklumat
Teori ini menjelaskan bagaimana sesuatu maklumat dalam proses pembelajaran diperolehi. Rangsangan dari persekitaran luar diterima dalam sistem saraf melalui deria, kemudian maklumat tersebut akan ditafsir dalam satu ingatan,kemudian ia dihantar kepada stor jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf.
Teori yang diperkenalkan oleh Gagne ini mempunyai beberapa fasa iaitu: fasa motivasi, fasa motivasi, fasa kefahaman, fasa perolehan, fasa penahanan, fasa ingatan kembali, fasa generalisasi, fasa prestasi dan fasa maklumbalas. Pada tahun 1977, Gagne menyenaraikan Sembilan situasi pengajaran dan proses kognitif untuk setiap syarat. Kesemua situasi ini harus ditekankan oleh guru demi menjamin keberkesanan P & P.

Syarat Proses Pelajaran/ Kognitif Contoh

1) Menarik perhatian/ Pengenalan Guru menunjukkan batu dan daun kering.
2) Memberitahu murid mengenai objektif pelajaran/ Harapan Guru menyoal mengenai kedua-dua bahan tersebut.
3) Merangsangkan pengetahuan sedia ada/ Mengingat kembali Guru mengingatkan murid mengenai pelajaran lalu berkaitan kedua-dua bahan.
4) Rangsangan kepada pengenalan topik/ Fokus kepada tajuk spesifik Guru menyoal murid mengenai definisi bahan-bahan beristinjak.
5) Memberi panduan/ Koding dalam ingatan Guru membantu dengan menyoal bahan-bahan lain yang boleh digunakan untuk beristinjak.
6) Menggalakkan murid membuat latihan sendiri/ Gerak balas murid Murid-murid dikehendaki menyenarai dan melukis bahan-bahan untuk beristinjak.
7) Memberi maklum balas/ Pengukuhan Guru memberi maklum balas dan membetulkan jika ada sebarang kesalahan.
8) Menilai pencapaian murid/ Mengingat semula Guru memberi latihan tambahan dan pemulihan
9) Mengukuhkan dengan pemindahan pembelajaran/ Generalisasi Guru menunjukkan kad yang berisi gambar dan menyuruh murid mengenalpasti bahan-bahan beristinjak.


4) Model Inkuiri
Pendekatan ini membolehkan murid menggunakan keperluan ingin tahu untuk meneroka dan mendalami sesuatu ilmu. Matlamat pendekatan ini ialah untuk membantu murid mengembangkan kemahiran berfikir dengan bertanyakan soalan. Dalam model ini, sesuatu pengajaran dimulakan dengan menyediakan satu situasi yang membingungkan dan kemudiannya murid akan cenderung untuk mengetahui pperkara tersebut dengan membuat ujikaji atau bertanyakan soalan. Terdapat lima fasa dalam model ini:
1) Fasa Satu : Berhadapan dengan masalah.
Guru mengemukakan satu situasi bermasalah dan menerangkan atur cara inkuiri kepada murid. Contoh: guru menunjukkan sebilah pisau yang diperbuat daripada logam yang menjadi bengkok apabila dipanaskan. Dari situ, murid mula berfikir bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku.

2) Fasa kedua : Pemeriksaan proses
3) Fasa ketiga: Pengumpulan Data/ Ujikaji
Dalam fasa kedua dan ketiga, murid akan mula bertanya guru beberapa soalan dan guru hanya akan memberikan jawapan “ya” atau ‘tidak” tanpa member sebarang penerangan. Tujuannnya adalah untuk menggalakkan murid berfikir sendiri. Selain itu, murid juga akan melakukan ujikaji atau eksperimen untuk mendapatkan keterangan dan jawapan bagi setiap soalan yang diaju.

4) Fasa keempat: Menyusun, merumus keterangan
Sebaik selesai melakukan ujikaji, murid dikehendaki menyusun dan merekod setiap maklumat dalam bentuk keterangan bagi memudahkan mereka memahami setiap inci ilmu. Keterangan ini adalah penting kerana tidak semua murid boleh memahami sesuatu ilmu melalui eksperimen, jadi mereka akan menjadikan keterangan tersebut sebagai rujukan untuk mereka faham.

5) Fasa kelima: Analisis Proses Inkuiri
Dalam fasa ini, murid diminta menganalisis corak inkuiri mereka iaitu dengan bertanyakan soalan-soalan yang paling berkesan dan produktif. Mereka juga akan bertanyakan guru tentang mana-mana maklumat yang penting yang tidak mereka perolehi dalam fasa dua hingga empat.

Model ini sesuai diaplikasikan untuk matapelajaran Sains.

5) Model Projek
Model projek adalah suatu pendekatan yang menghendaki murid untuk mengumpul maklumat mengenai sesutau topic dengan membina bahan-bahan atau menyelesaikan sesuatu tugasan secara projek besar umpamanya membina laman web, dokumentari atau video. (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2010). Model ini sinonim dengan pendekatan “pembelajaran melalui pembinaan”.
Terdapat beberapa komponen yang perlu diteliti oleh guru untuk menghasilkan sebuah projek yang berkesan iaitu:
1- Peranan murid dalam projek
2- Hasil projek
3- Audien yakni kumpulan sasaran yang mendapat manfaat daripada projek
4- Penilaian kendiri
5- Gol projek
6- Skop tugasan dan penyelesaian

Guru perlu memilih tajuk yang projek yang sesuai, mencabar dan dekat dengan kehidupan murid. Contohnya projek tentang penggunaan bahan kitar semula. Projek ini dapat mendidik murid dan mesyarakat sekeliling tentang peri penting memelihara dan memulihara sumber-sumber alam terutamanya kertas dan tin. Kebiasaannya, integrasi kemahiran daripada beberapa mata pelajaran akan berlaku ketika perlaksanaan sesuatu projek.

Contoh model projek yang boleh dilakukan untuk matapelajaran Pendidikan Islam ialah projek “Bengkel Al-Fatihah”.
Sebelum projek dijalankan, guru mestilah menerangkan terlebih dahulu objektif projek iaitu untuk memperbaiki dan mengekalkan bacaan al-Fatihah yang fasih dan sempurna tajwid. Untuk tujuan itu, beberapa orang murid dari kelas berkenaan yang sudah elok bacaan akan dipilih sebelum dibentuk beberapa kumpulan. Murid-murid tadi akan mengetuai kumpulan-kumpulan tersebut. Projek ini boleh dijalankan satu jam sehari selama seminggu. Bahan-bahan seperti kertas, fail, kaset dan nota disediakan oleh guru.

Hari pertama: Sesi berkenalan dengan bertaaruf dan solat jamaah bersama-sama untuk menjalin hubungan baik sesama ahli.

Hari kedua: Ketua kumpulan ataupun naqib akan memperdengarkan bacaan kaset dan bacaannyanya kepada setiap ahli kumpulan. Kemudian barulah mendengar bacaan dari setiap ahli kumpulan sambil membetulkannya. Semua bacaan ahli direkodkan oleh Naqib.

Hari ketiga: Naqib akan menerangkan beberapa kesalahan bacaan yang kerap dilakukan dan hukum-hukum tajwid yang terdapat dalam surah Al-Fatihah. Kemudian, latihan diberi sebagai penilaian dan pengukuhan.

Hari keempat: Naqib mendengar semula bacaan setiap ahli. Mana-mana ahli yang sudah elok bacaannya akan menjadi mentor kepada ahli-ahli yang lemah dengan pemantauan naqib. Setiap bacaan ahli akan direkod oleh Naqib buat kali kedua.

Hari kelima: Semua kumpulan bergabung dan dipecahkan semula mengikut tahap bacaan masing: fasih, sederhana dan lemah. Kumpulan sederhana dan lemah akan dibimbing oleh kumpulan cemerlang. Tujuan dilakukan pecahan ini adalah untuk memastikan murid-murid sederhana akan menjadi fasih, manakala yang lemah akan mencapai sekurang-kurangnya tahap sederhana.

Sebaik berakhirnya projek, murid akan menghantar segala rekod bagi memudahkan guru untuk melakukan tindakan susulan kepada mana-mana murid yang berkenaan.

Sepotong ayat, sebaris doa

Sepotong ayat, sebaris doa

وَقُلْ رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لّيِ مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا -الإسراء،80
"Dan katakanlah (Muhammad), ya Tuhanku, masukkan aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah aku dari sisiMu kekuasaan yang dapat menolongku."
Ini ada sebaris doa, yang biasanya dibaca dalam sujud terakhir dalam solat sunat Tahajjud.

Tafsiran ayat : Memohon kepada Allah agar kita memasuki sesuatu ibadah dan selesai daripada melakukannya dengan niat yang baik dan penuh keikhlasan serta bersih dari ria dan dari sesuatu yang boleh merosakkan pahala. Ayat ini juga mengisyaratkan kepada Nabi agar berhijrah dari Makkah ke Kota Madinah. Dan ada juga yang menafsirkan, kita memohon kepada Allah agar memasuki kubur dengan baik dan keluar daripadanya ketika hari kebangkitan dengan baik.

Dipetik dari: al-Quran dan Terjemahan, pustaka Darul Iman

Ahad, 7 November 2010

Tak Puas Hati ni

Tak puas hati

"Kenapa tak puas hati sis?"
"Pemandu bas tu tak berhenti. Geramnye!!!"

Hah, tu dia. tiba2 je tak puas hati, apsal? Aku sebenarnya tak puas hati dengan sorang pemandu bas ni. Bulan puasa yang lepas, aku naik bas ekspress buat kali pertamanya dari Alor Setar ke Kuantan. Macam bas-bas lain jugak, bas yang aku naik ni berhenti untuk bagi laluan kepada kami untuk makan sahur. Tak kisah la tu.
Bas pun berjalan. Jalan punya jalan,, masa pun berjalan la jugak kan? Hari makin cerah. Eh, bila bas ni nak berhenti?
"Pak cik, boleh tak berhenti. Kami semua tak solat lagi."
"Kita berhenti kat Petronas depan nu"
Ok, aku bersabar dan terus bersabar. Aik, tak berhenti pun? Hari makin cerah. Hati makin panas. Tak lama lepas tu, bas pun berhenti, itu pun sebab ada penumpang yang nak turun. Aku berlari cepat2. Nak cari bilik air, memang tak sempat. Cari surau perempuan, tak jumpa pulak! Aduuh.. Masa makin suntuk. Nasib baik aku jumpa surau lelaki, Tibai je la. Solat aku ala kadar, takde ayat lazim, takde qunut, takde doa. Selesai je salam, terus memecut ke bas. Fuh, nasib baik la pakcik pemandu tu tak tinggal aku.
Dalam bas, sorang penumpang tu bgtau yang pakcik pemandu tu berleter2 kat aku waktu aku solat. Ha? dia marah aku solat? Ulang sekali lagi, dia marah aku solat. Kasihan juga kat pakcik ni, agaknya dia lupa yang solat tu wajib. Untuk pengetahuan, hanya aku sorang je yang "berjaya memboloskan diri" dan solat. Bukan aku nak bangga, tapi aku nak cakap kat sini, kesiala kat pakcik tu sebab dia terpaksa tanggung dosa penumpang lain yang tak solat. Tu la, yang tak berhenti tu kenapa? Berhenti sahur sampai setengah jam, tapi untuk solat, langsung tak berhenti. Siap marah2 pulak tu.
Ni la hakikatnya manusia muslim yang mengaku beriman. Orang lain puasa, dia pun puasa. Tapi bila orang lain solat, tak buat pulak dia. Padahal 2,2 pun wajib. Huh, tak puas hati aku orang macam ni!



Khamis, 23 September 2010

A Teacher

A TEACHER
Who is called a real teacher actually?
"The mediocre teacher tells
The good teacher explains
The superior teacher demontrates
The great teacher inspires."
-William A.Ward
Who is a GURU then?
G: Guna
U: Untuk
R: Rakyat
U: Umum
How about Mudarris, Mu'allim, Mursyid, Muaddib and Murobbi??
Mudarris: the one who teaches
Mu'allim: the one who tells
Mursyid: the one who leads
Muaddib: the one who forms/ establishes
Murobbi: the one who educates
In a nutshell, a great teacher must have a very strong willingness and sincerety to:
- teach patiently
- sacrifice mentally and physically
- face differrent types of students
- work harder
in order to produce a glorious n succesful generation. Wallahu'alam..

Rabu, 22 September 2010

Susah Tapi Kena...

Susah Tapi Kena...
Apa yang susah? Apa yang kena? Banyak benda, banyak perkara yang susah sebenarnya. Susah, tapi kena buat. Tapi aku mahu fokus satu sahaja. Nak yang mana satu? Yang paling rapat, akrab dengan perempuanla. Tahu? Boleh tangkap?
Pasal lidahla, apa lagi. Memang dah selalu naik isu ni. Isu perempuan banyak cakap, banyak berleter, banyak mengumpat. Memang sinonim sangatlah dengan golongan seangkatan aku. Tapi walaupun perkara ni selalu diangkat, dan ditimbul, kesannya macam tu juga. Ada perubahan? T.I.A.D.A.
Susah kan? Susah betul nak jaga lidah. Susah betul nak berhenti dari mengata orang, membuka aib orang.
"Eh, saya bukan mengumpat, saya bercakap benda yang betul."
Puan-puan, akak-akak, kalau bercakap benda yang betul, di luar pengetahuan tuannya, mengumpatla namanya tu. Kalau tak betul, fitnah. ya la, FITNAH. Yang dosanya lagi berat dari membunuh orang tu. Maklum? Bagus.
"Barangsiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silap, banyaklah dosanya. Barangsiapa yang banyak dosa, maka Nerakalah yang paling layak baginya. "
Ha, tak takut ke?
Takut, siapa yang takut Api Neraka Allah. Tapi takutnya sekejap sangat. Tak sempat nak bertaubat, buat semula. Jadi macamana nak buang tabiat banyak bercakap ni? Cara yang paling mudah yang Nabi sarankan: Diam. Kurangkan bercakap. Jaga lidah. Senang kan?
Tapi yang senang ni la yang paling susah nak buat sebenarnya. Kadang-kadang hati dah nak diam, tak mahu banyak bercakap, tapi disebabkan ada "virus" di sekeliling, tabiat lama datang balik. Kiri kanan ada orang bercakap, ada yang mengumpat. Kalau boleh, lari lah ke tempat lain. Yang pergi "join" depa tu buat apa???
Ni la masalahnya perempuan. Aku pun sama. Ya Tuhan....
Kawan-kawan, jom muhasabah. Jom kawal lidah. Jom ingatkan diri bahawa dosa mengumpat tu takkan diampun oleh Allah selagi kita tak minta ampun dari orang yang kita mengumpat tu. Sanggup ke nak bagitau, "akak, semalam saya mengumpat akak. Mintak maaf ye." Kalau sanggup, buatla. Tapi kalau tak sanggup, doakan dia. Itu pun salah satu cara nak menghapus dosa mengumpat.
Jadi, peringatan untuk diri aku, dan perempuan-perempuan di luar sana, kurang-kurangkanlah bercakap benda yang tak penting. Memang SUSAH, TAPI kita KENA buat.WAJIB.
Wallahualam...

Sabtu, 18 September 2010

Suka-suka..

Assalamualaikum.. Lamanya tak menulis, idea datang, tapi bila tak dicurah, lupa, dan terus hilang. Tu la masalahnya manusia, ada sifat lupa. Tapi ustaz aku pernah kata, lupa tu nikmat.
Nikmat tang mana tu?? Senang je. Kita ambil contoh seorang isteri yang baru kematian suaminya, kemalangan. Mula2 tu sedih tak terkata, hiba, sedih, menangis mencurah-curah si air mata. Tapi bila dah lama, ok la. Siap boleh bercerita lagi tentang arwah.
Itu satu. Contoh lain? Cinta.. maksud saya, org yg putus cinta. Anda pernah? hehe, jarang orang tak mengaku ni. Sedih tak? Menipu la kalau tak sedih, kadang2 mengalahkan orang yg baru diceraikan sedihnya tu. Tapi kalau anda sendiri yang merelakan atau "menceraikan" mungkin tak sedih sangat, atau mungkin tak sedih langsung. Betul tak?
Ni perempuan la biasanya, sedih bukan main lagi kena tinggal dek pakwe, yang tersayang la kononnya. Dah kena tinggal, mana sayangnya? Ada ke orang tu nak "rujuk" balik? Jangan harap. Jarang.
Jadi, sayangilah seadanya. Sedangkan orang yang dah berkahwin pun tak boleh sayang pasangan dia 100%, inikan orang yang bercinta. Orang yang belum tentu lagi jadi milik kita pulak tu. Ish ish ish...
Berbalik kepada "lupa" tadi. Sedih tu kejap je. Nak berendam airmata pun, kejap je, seminggu, dua minggu. Lama-lama, hilanglah. Siap boleh cari pakwe/makwe baru lagi. Kan??
Jadi, semua ni sebab apa? L.U.P.A . Jadi, bukankah lupa itu nikmat?
Lu pk la sendiri. :)

Ahad, 18 Julai 2010

Aleeya Najihah

Aleeya Najihah
"Kau tak sihat Aleeya?"
"Eh, mana ada."
"Habis kenapa muram saja?"
"Takde ape lah.."
Syarha jeling Marwa. Marwa terus pandang ke lain.
"Hei, geng, apahal ni?" Fida datang tiba-tiba. Aleeya cebik muka. Hati jadi sakit, darah naik tak tentu hala. Aleeya beredar. Aleeya benci tengok muka Fida.
"Kenapa ni? apa yang tak kena?" Marwa cuba korek rahsia.
"Apa yang tak kena? Aleeya? Lantak dia lah. Sikit-sikit nak merajuk," dengus Fida.
"Ni mesti korang bergaduh lagi, kan?"
"Bosanla Wa. Aku angkat suara sikit je tadi, dalam kelas. Takkan itu pun nak ambik hati?"
"Alah Fida, Aleeya tu kan sensitif. Dia memang mudah sangat terasa, kecik hati. Nanti kau pujuk dia ye?" celah Syarha.
"Huh, tak kuasa aku!" Fida terus pergi. Syarha dan Marwa diam sahaja, tidak mahu perkara itu tambah kusut.
* * * * *
"Aleeya, bangun. Giliran kamu membaca kisah nabi hari ni."
Aleeya gosok mata. Arahan guru Fardhu Ain, kedengaran samar-samar.
Aleeya baca kisah Nabi Nuh sungguh-sungguh. Tapi cuaca hari itu agak suram. Ramai yang terlentok, tak mampu menahan mengantuk.
"Ok, sekarang beritahu saya, apa pengajaran dari kisah Nabi Allah Nuh ni? " Tanya Ustazah Faridah seusai Aleeya membaca ayat terakhir.
"Allah suruh kita jangan minum arak,' jawab Syafiq.
"Allah tak bagi kita bangun lambat, nanti terlepas Subuh," tambah Fizan.
"Erm,..nampak sangat tak mendengar. Sudah, semua bangun, pergi basuh muka."
Ustazah Faridah bukan pandai marah. Dia faham benar fiil pelajarnya. Tidak sampai hati mahu meninggi suara, apa lagi menyentuh fizikal mereka.
Namun sifat lembut beliau tetap disusuli tegas. Sebab itu Aleeya, Marwa dan Syarha takut untuk main-main sewaktu ujian.
* * * * *
Jam sudah pukul 9.00 malam. Pelajar asrama puteri SMK Al-Falah bergegas turun tangga. Sekarang waktu belajar. Aleeya berjalan sorang-sorang. Dia tidak kalut seperti biasa.
Marwa dan Syarha mencari Fida. Mereka memang kerap belajar bersama. Aleeya duduk di satu sudut, jauh dari kawan-kawan. Perasaan tidak senang pada Fida nampaknya beranak pinak. Benci. Meluat.
"Fida, kau belum pujuk Aleeya lagi ke?"
"Aku nak kena pujuk? Aku ada buat salah ke?"
"Takdelah, dalam hal ni, salah sorang kena beralah," Marwa cuba memberi cadangan.
Fida buka buku Matematik, capai pensil dan siapkan latihan. Syarha senyap sahaja, mengerti sungguh sikap Fida yang keras hati.
Malam itu Aleeya belajar tanpa teman, tiada perbincangan. Tidak mengapalah, asalkan tiada orang yang dia kurang senangi di sisi, itu sudah cukup buat Aleeya tenang hati..

Khamis, 27 Mei 2010

Pernah Cuba?

Pernah cuba biji gajus yang digoreng sendiri? Jom belajar ! :)
Ini pokok jambu gajus.


Biji-biji gajus yang dikutip perlu dijemur hingga kering dahulu.

Sediakan tin/periuk/ kuali lama untuk menggoreng biji gajus. Kacau selalu supaya semua biji masak secara rata. Gunakn guni atau karpet lama untuk meletakkan biji gajus yang telah masak.

Goreng biji tadi hingga warnanya begini..


Ketuk biji tadi menggunakan kayu .


Tadaaaaaaaaaaaaaaaa!!Biji gajus, siap untuk dimakan!
Rupanya tak cantik, tapi sedaaaaaaaaap :)
Selamat Mencuba.


Isnin, 17 Mei 2010

Selamat Hari Guru

"Selamat Hari Guru"

"Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji,
Mendidik dan memimpin,
Putra putri negara kita.."

Selamat Hari Guru untuk aku dan sesiapa sahaja yang memegang taklif sebagai guru, cikgu, ustaz, muallim, pensyarah dan yang sewaktu dengannya.
16 Mei, tarikh yang memang ditunggu untuk golongan ni, tak terkecuali aku. Hari ni la seseorang guru tu akan tahu siapa pelajar yang benar-benar menghargai dia. Hari ni la seseorang guru tu akan terima ucapan maaf, ucapan sayang dari pelajar-pelajar dia. Hari ni jugak seseorang guru tu akan akan terima bermacam bentuk hadiah: bunga, bingkai gambar, jam.. macam-macamlah.
Aku? Sepanjang setahun 2 bulan 17 hari bergelar seorang guru, oops, guru sandaran je,
dapatlah aku merasa nikmat-nikmat ni.
Tadi, adala sorang murid datang mengucap selamat hari guru. Itu aku anggap biasa. Kemudian dia menambah "maaflah ustazah, takde hadiah. Takut ustazah kecik hati pulak".
Lebih kurang macam tu la ayat dia. Adoii.... terharu pulak dia cakap macam tu. Aku bukannya mintak hadiah, cukuplah kalau kehadiran aku dihargai dan dibalasi dengan yang sepatutnya. Bagi aku, kalau pelajar tu bertanya dalam kelas, itu dah menunjukkan dia menghargai gurunya. Kalau dia tak suka subjek tu, tapi dia diam dalam kelas, itu tandanya dia hormat cikgu dia.
Hadiah pulak? Siapa taknak hadiah kan... Tu semua bonus je. Ramai pelajar yang nak sangat bagi hadiah kat cikgu dia, tapi tak cukup pitih (kata orang Kelantan). Takpe, cikgu-cikgu faham sangat. Bagi kejayaan, sudah. Tak boleh bagi kejayaan, bagi penghormatan. Erk, maksudnya, hormat. Itu pun dah cukup baik. Sebab kalau belajar tak pandai, tapi cikgu dia hormat, mudahla dapat berkat, kan?
Ok lah, banyak benda yang nak dikongsi, tapi otak seakan tak boleh berfungsi. Cukup dulu untuk hari ini, doakan aku menjadi seorang pendidik yang berdedikasi..Ameen..


"Guru yang baik adalah guru yang sentiasa bersabar dan mendoakan kejayaan anak didiknya.."






Khamis, 29 April 2010

Yang bernama perempuan

Wanita Muslimah tak semestinya perlu berjubah (gambar hiasan)


Perempuan, wanita dan spesisnya


Ini ada sedikit cerita:

Baru-baru ini, aku ke bandar Pekan. Di depanku ada 2,3 orang "mamat". Di depan mereka ada beberapa orang "minah". Tiada apa-apa pun yang pelik sebenarnya.

Aku pandang ke arah mama-mamat ni tadi, bukanlah mahu mengorat. (Uih, tak selera aku!)
Bukan berlagak, tapi adalah sebab musabab yang membuatkan mereka tidak terkategori. hehe

Berbalik pada mamat-mamat ni tadi.. Aku tengok, mata diaorang asyik memandang pada si minah-minah ni. Tak kisahlah tu, mungkin awek-awek diaorang. Yang aku jadi geram (nak tergelak pun ada) sebab mamat-mamat ni fokus kat satu bahagian je. Korang tahu ape?
Eleh, buat tak tahu pulak! Punggungla!

Mamat-mamat tu nampak terliur betul bila tengok bahagian tu. Yela, pakai jeans ketat, lepas tu baju betul-betul tutup takat bawah pusat. Bila berjalan, "confirm"lah, punggung si minah-minah ni akan "kiri, kanan, kiri,kanan!" Ha? Faham?

Tu lah beza laki dengan perempuan. Cara berjalan lelaki tak mengiurkan, sebab diaorang takde lenggang lenggok, lurussss aje. Tak percaya? Korang tengok sendiri kawan-kawan korang nanti. (Jangan tengok lebih-lebih sudah )

Itu baru satu, ni ada lagi. Ada la sekali tu, aku naik lrt. Di depan aku, berdiri sorang lelaki, aku nak namakan dia mamat jugak. Macam tadi jugaklah, kat depan dia berdiri sorang perempuan, Minah, bukan nama sebenar. Aku anggarkan minah ni bukan isteri dia. (pandai-pandai je.hehe)


Apa yang dia buat?

Rileks...dia tak buat apa-apa. Macam cerita tadi jugak, bezanya, dia tak pandanglah punggung awek dia sebab diaorang berdiri mengadap. Jadi mamat tu pandang apa? Ha? dapat agak??Korang mesti tahu punyaaaaa.

Bahagian yang boleh buat orang lelaki terliur, ternaik nafsu, bahagian dada perempuan lah. Mulut si mamat ni, bercakap-cakap dengan awek dia, tapi mata dia ralit sungguh pandang ke tempat tu. Yang si perempuan ni pulak, bukannya tak sedar, dibiarkan aje pakwe dia tu pandang buah dada yang besar tu. Memanglah pakai baju, tapi, orang lelaki ni. Alah, malas nak cakap lebih-lebih. Eeei... tak takut ke mamat ni tetiba buat benda yang tak patut ke..

Cukuplah 2 cerita. Geli aku nak cerita lagi. Kesimpulannya? Nasihat dan ingatan untuk aku, dan untuk sesiapa sahaja yang berjantina Hawa, tolonglah.... Tolong jangan pakai seluar dan baju yang ketat. Kalau nak pakai jeans, pakailah, tapi kan ke banyak jeans yang jenis longgar? kenapa memilih untuk menyiksa diri? Baju tu, cubalah pakai yang besar sikit, ini, nak pakai pun susah, ye la, pakai baju adik, tak ke menyusahkan diri namanya?

Aduuhhh... aku pun bukannya alim sangat, tapi bab-bab tutup aib ni, memangla aku jaga sikit. Kalaulah pakaian pun tak boleh jaga, macamana kita nak jaga ibadat kita yang lain?


Aku selalu ingat Allah kata:
"Sesungguhnya solat itu mencegah dari sebarang dosa dan kemungkaran."


Tapi aku leka jugak buat dosa. Kekadang terfikir, entah sampai ke tidak ibadat aku pada Dia. Entah-entah tersangkut antara langit dunia. Kalau sampai pun, entah Allah terima ke tidak. Agak-agaknya sebab tu lah solat aku tak mampu pun nak halang aku dari buat maksiat. Ya Allah...





















Sabtu, 24 April 2010

Aleeya Najihah 2

Aleeya Najihah


Rasa kebas di ibu jari, hilang terus. Aleeya senyum lebar-lebar, sorang-sorang. Aleeya baca mesej Najib lagi sekali, dan lagi. Aleeya mahu membalas. Aleeya perah otak, fikir ayat yang sesuai untuk Najib.


" Saya bukan tak sudi, saya nak sangat berkawan, tapi saya takut kalau saya sakitkan hati

awak lagi..."


Butang "send" sudah Aleeya tekan. Tak sampai seminit, Aleeya terima mesej dari Najib. Satu demi satu.. Aleeya makin rancak melayan mesej-mesej Najib. Aleeya tak sedar, jam sudah pukul tiga.


* * * *

"Marwa, aku nampak dia tadi.!"

"Siapa?"

"Laah... kau ni, nama aje kawan baik, takkan tak tahu lagi siapa."

"Ooh... Fazrul? Kau nampak Fazrul?! Kat mana? Suka lah tu. "

"Eh, mestilah.... Dia senyum kat aku tau. "

"Eleh, perasan tak habis-habis."

"Ala, nak menyedapkan hati. Heheh."

"Kau ni, kalau suka, bagitahu ajelah, buat apa nak simpan. "

"Ish,kau ni, takkan aku nak mulakan kot?"

"Habis kau ingat dia nak mulakan ke? Kenal engkau pun tidak. "

"Aku seganla Wa.. Lagipun aku bukan lawa macam kau pun.."

"Tu lah kau, dari dulu lagi, asyik merendah diri je. Dah la, malas aku nak layan."


Aleeya langkahkan kaki ke kelas. Masa rehat sudah tamat. Aleeya ada subjek geografi sekejap lagi. Alamak! Peta Asia Tenggara belum siap lagi!

"Aah sudah....Mati aku! " Aleeya ambil pensel 2B cepat-cepat. Aleeya tekap buku atas peta dan...

"Aleeya! Bangun!"


Waktu berdiri atas kerusi, Aleeya cuba alihkan rasa malu. Aleeya pujuk hati bagi reda. Aleeya menjenguk ke luar kelas, mengharap kalau-kalau Fazrul lalu. Tapi hampa..


Aleeya jadi bahan ketawa rakan-rakan. Aleeya tahan rasa geram dalam hati. Mahu sahaja Aleeya jerit: "pensel aku hilang malam tadi la!!!. " Tapi, mana boleh. Sebab alasan Aleeya tu tak kuat. Hai, Aleeya, Aleeya...


* * * *


Pukul 2.05 petang, pelajar-pelajar SMK Al-Falah berselarakan meninggalkan kelas. Aleeya jalan laju-laju ke asrama. Perut Aleeya dah berirama. Aleeya tahan lapar dari tadi. Aleeya perlu cepat. Jam 3.00 nanti ada kelas Fardhu Ain.


"Aleeya, Aleeya!! " Aleeya malas jawab panggilan Yumni. Dalam fikiran Aleeya hanya ada satu. Nasi. Aleeya nak makanla. Aleeya tiada masa nak berborak dengan kawan-kawan.


Sesuap demi sesuap nasi masuk ke mulut Aleeya. Gigi Aleeya mengunyah, tekak setia menelan. Lidah Aleeya rasa macam-macam. Sekejap pedas, sekejap masam, sekejap manis, dan sekejap tawar. Ibarat dunia Aleeya juga..
(bersambung..)












Rabu, 21 April 2010

Mungkin ada yang kita belum tahu

Fizikal Nabi Muhammad s.a.w
Mungkin kita tahu siapa Nabi kita, tetapi belum kenal jelas tentang rupa bentuk Baginda..
1) Wajah
"Wajanya bersinar sepert bulan." ( Hind bin Abi Hala)
"Wajahnya bulat seperti bulan." ( Bara' bin Azib)
"Wajahnya tidak begitu bulat tetapi cenderung kepada bulat." (Saidina Ali)
"Dahinya luas, raut kening yang tebal terpisah di tengah-tengahnya dan nampak semakin jelas ketika sedang marah." (Hind bin Abi Hala)
2) Warna Kulit.
"Tidak putih seperti kapur atau coklat, tetapi campuran antara coklat dan putih, warna putih lebih banyak." ( Anas)
"Putih kemerah-merahan." (Saidina Ali)
"Putih tetapi sihat." (Abu Tufail)
"Putih dan bercahaya." (Hind bin Abi Hala)
3) Mata
"Hitam dengan bulu mata yang panjang. (Saidina Ali)
"Hitam dan layu, tabiat memandang dari sudut matanya seolah-olah malu." (Hind bin Abi Hala)
"Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut." (Jabir bin Samra)
4) Hidung
"Agak tinggi bercahaya penuh misteri, kelihatan luas kali pertama memandangnya." (Hind bin Abi Hala)
5) Mulut
"Luas." ( Jabir bin Samra)
"Sederhana luas." (Hind bin Abi Hala)
6) Gigi
"Kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian hadapan." (Saidina Abbas)
"Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya." (Anas)
7) Janggut
"Penuh dan tebal." (Hind bin Abi Hala)
8) Leher
"Kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak dan sangat indah." (Hind bin Abi Hala)
9) Kepala
"Besar tetapi elok bentuknya." (Hind bin Abi Hala)
10) Rambut
"Tidak terlalu lurus dan tidak kerinting seperti biri-biri." (Qatada)
"Sedikit ikal." (Anas)
"Tebal, kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu." (Bara' bin Azib)
"Terbelah di tengah-tengahnya." (Hind bin Abi Hala)
"Tubuhnya tidak mengandungi banyak rambut. Suatu garisan
rambut menganjur dari dada ke pusat." (Saidina Ali dan Hind bin Abi Hala)
"Terdapat sedikit di atas bahu, lengan dan bahagian atas dada." (Hind bin Abi Hala)
11) Struktur umum
"Sempurna binaan badannya, tulang-tulang yang menyambungkan anggotanya besar dan kukuh." (Hind bin Abi Hala)
" Badannya tidak gemuk." (Saidina Ali)
" Tidak tinggi dan tidak rendah, kecil tetapi berukuran sederhana." (Anas)
" Cenderung kepada tinggi, di tengah-tengah orang ramai, ia kelihatan lebih tinggi dari orang lain." (Bara' bin Azib)
"Perutnya tidak buncit." (Umm-e-Mabad)
"Sekalipun baginda miskin dan lapartetapi tubuhnya lebih gagah dan sihat dari orang lain yang cukup makan." (Al-Mawahib)
"Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih berani dan gagah dari Rasulullah." ( Ibn Umar)
12) Bahu dan dada
"Dadanya bidang dan selaras dengan perut." (Hind bin Abi Hala)
"Luas bidang di antara kedua bahunya lebih dari biasa." (Hind bin Abi Hala)
"Seimbang di antara kedua bahunya." (Saidina Ali)
13) Lengan dan tangan
"Pergelangan tangannya besar, lebar tapak tangannya, jari-jarinya juga besar tersusun dengan cantik." (Hind bin Abi Hala)
"Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut dari tapak tangan Rasulullah." (Anas)
14) Betis dan kaki
"Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik."(Jabir bin Samra)
"Kakinya berisi, di tapak kakinya terdapat sedikit lekuk dan kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air." (Jabir bin Samra)
Sempurnanya fizikalmu whi Nabi Allah, tidak dapat digambar dengan minda.
"Innallaha wamala ikatahu yusollu na 'alan nabiy. Ya Ayyuhal lazi na a manu, sollu 'alaihi hi wasallimu taslima..."
Sollu 'alan nabi, Muhammad s.a.w....
Dipetik dari:
"Muhammad (s.a.w.) Pembina Umat"
-Naeem Siddiqui

Isnin, 19 April 2010

Aleeya Najihah



Aleeya Najihah
Fikiran Aleeya kusut. Ada benda yang mengganggu benaknya. Aleeya lapar? Aleeya ada masalah duit? Atau Aleeya ada banyak tugasan? Aaaaah!!! Tidak tidak tidak. Aleeya bukan fikir pasal itu. Ini soal hati.
Aleeya cuba tenangkan diri. Dia baca Quran, dia jalan sana sini, dia borak dengan kawan-kawan. Kononnya untuk hilangkan, tapi semuanya tak jalan. Aleeya teringatkan seseorangkah? Amna meneka.
Semester lepas, Aleeya ada kenal dengan seseorang. Dia lelaki. Amna yang kenalkan. Tapi Aleeya tak pernah jumpa dia. Cumanya Aleeya tahu, fizikal lelaki itu, berkaca mata, tinggi orangnya. Najib, nama yang Aleeya panggil dia selalu.
Ada sekali tu, Aleeya gatal tangan. Dia buat "missed call" banyak kali pada telefon Najib. Lama-lama, Najib jadi bengang. Najib hantar mesej. Nadanya berbaur marah, geram, rimas. Ya! Najib rimas bila Aleeya buat macam tu dekat dia. "Dah takde kerja nak buat ke??!"
Padan muka Aleeya.
Dua tiga hari selepas itu, Aleeya dan Najib tidak berhubung. Aleeya sedih juga. Walaupun Najib bukan kekasih Aleeya, dia suka berkawan dengan Najib. Najib bukan budak baik. Najib selalu langgar peraturan kolej. Najib seorang perokok. Najib pun bukan budak pandai. Tapi Aleeya tak kisah. Aleeya tak pedulikan pun semua benda tu. Aleeya cuma mahu berkawan. Aleeya mahu tahu apa rasanya punya kawan lelaki.
Tapi Najib sekarang dah lain. Najib tengah marah dengan Aleeya. Najib tak suka berkawan dengan Aleeya lagi. Ini semua Aleeya punya pasal. Takde masalah, cari masalah. Haiiii.... Aleeya, Aleeya...
* * * * * *
Jam sudah pukul 12.02 pagi. Aleeya tak boleh tidur. Dia asyik teringatkan Najib. Aleeya capai telefon Nokianya. Aleeya tekad. Apa nak jadi, jadilah. Aleeya taip satu "SMS". Aleeya beranikan diri hantar mesej untuk Najib. Aleeya minta maaf sungguh-sungguh dengan Najib. Aleeya beritahu juga yang dia takkan kacau Najib lagi. Aleeya cuma mahu Najib maafkan dia, sebelum dia tamatkan hubungan kawan ni. Ha?? Tamatkan hubungan kawan? Ada ke macam tu? Amna kata dekat Aleeya "kalau putus cinta, ada la. Tapi kalau putuskan hubungan kawan, ni pertama kali aku dengar." Amna gelak kecil. Aleeya cebik muka. Mesej dah dihantar, Aleeya tak boleh tarik kata-kata tu.
Aleeya dah agak, Najib takkan balas mesej tu. Tak apa lah, asalkan dia tahu maksud hati Aleeya. Aleeya sedar dia buat silap, sebab tu dia nak Najib maafkan dia. Kalau Najib dapat maafkan, lega sedikit hati Aleeya. Aleeya berbaring, cuba memejam mata yang tak mengantuk.
"One message received". Aleeya ambil telefon, dan buka kekunci. Aleeya beliakkan mata besar-besar. Aahh...cahaya telefon Aleeya tidak cukup terang. Aleeya meraba-raba, mencari suis lampu. "Aduh!" Tidak semena-mena kaki tersepak tiang katil. Kebas kaki Aleeya dibuatnya.
"Hehe, kenapa beria minta maaf ni? Saya tak marah awakla, sikit pun tak. Kenapa mintak putuskan hubungan? Awak dah tak sudi kawan dengan saya ke?"
Aduuhhhh.... cair hati Aleeya lepas baca mesej Najib. Tak sangka betul, Najib masih nak berkawan dengan dia lagi. Bukan main berbunga hati Aleeya. Macam baru dapat gaji tertunggak tiga bulan pun ada.
(bersambung....)

Sabtu, 17 April 2010

Mari Berpantun

Bandar Melaka bandar beca,
Tepi jalan banyak durian,
Assalamualaikum buat pembaca,
Terima kasih atas kesudian.

Ingin mencapai tahap bitara,
Mesti lalui banyak ujian,
Bariah mahu ajak bicara,
Soal hati yang tidak kesudahan.

Kala angin datang membisik,
Terujalah Adam pada si Hawa,
Bercinta itu memang asyik,
Ada nangis ada ketawa.

Ada lebah adalah madu,
Ada sos ada lah kicap,
Aku cinta aku rindu,
Istilah yang selalu disebut diucap,

Elok akhlak cantiklah rupa,
Di sisi Allah tiggilah darjah,
Bila dah kenal rasa nak jumpa,
Teringin juga melihat wajah.

Kereta MYVI sedang dipandu,
Motorsikal laju berlalu,
Dari sayang wujudlah rindu,
Kala sunyi terasa pilu.

Ligat sungguh si buah gasing,
Jatuh bergolek dilanggar kera,
Jalan jalan pusing pusing,
Di bandar di kota tempat asmara.

Tengahari teringat nasi,
Waktu berjalan membeli sakan,
Perut lapar perlu diisi.
Menuju pula ke kedai makan.

Ke sana ke sini tak tentu hala,
Motor lori menegak melintang,
Habis berdating baliklah pula,
Rasa sedih mulalah datang.

Tangan dibasuh jangan melekit,
Perut kenyang tidak terkata,
Itulah cerita serba sedikit,
Lumrah dunia orang bercinta.

Cinta sejati itulah lambang,
Sebuah hubungan teruna dan dara,
Kalau sakit ada yang bimbang,
Kalau suka ada yang gembira.

Indah sungguh Juliet dan Romeo,
Bagai dunia dia yang punya,
Dirakam sudah beberapa senario,
Tetapi ini secebis hanya.

Bariah juga pernah menyayang,
Rindu kasih pada seseorang,
Banyak detik wajahnya terbayang,
Namun akhirnya mengundang berang.

Apa yang ada sudah tiada,
Apa dirancang tidak menjadi,
Mata menangis sebaknya dada,
Bila mengharap pada yang tak sudi.

Segala tentuan Dia yang punya,
Setiap takdir Dia yang berhak,
Pernah juga hati tertanya,
Bilakan kutemu pada dia yang hak.

Tidakkan bergenang airmata,
Jika hati tidak disakiti,
Mengapa aku selalu buta,
Pada cinta yang tidak sejati.

Akan kupujuk hati yang yang duka,
Akan kubiar marah berkulat,
Biar darah mengering di luka,
Asalkan maruah tidak diperalat,

Dunia mengandung banyak pengalaman,
Menjadi pengajaran yang amat berguna,
Apa yang baik jadikan pedoman,
Apa yang buruk campaklah ke sana.

Coretan ini sengaja kutitip,
Sekadar meluah apa yang terbuku,
Segala yang baik pasti kukutip,
Jadi guru buat diriku.

PadaMu ya Robb aku bersyukur,
Kerna dikurnia sebaik hidayah,
Dikau mengajak aku bertafakur,
Betapa aku perlukan inayah.

Izinkan aku mengucap maaf,
Buatmu insan yang kuanggap kawan.
Terlalu banyak membuat khilaf,
Membuat dikau jadi tak keruan.

Ketenangan itu memang milikmu,
Ketiadaan aku membuatmu senang,
Andai sedih datang bertamu,
Janganlah ia terlalu dikenang.

Dunia kita jauh berbeda,
Umpama langit dengan Bumi,
Kalaulah aku sudah tiada,
Moga persahabatan kan tetap bersemi..


-yang sedang menikmati anugerah Mu...








Sabtu, 27 Mac 2010

Tahniah buat JAKIM

Assalamualaikum semua. Mungkin ada yang perasan, baru-baru ini TV1 ada menayangkan rancangan 'ADIK-ADIKKU'. Jam 6-30 petang setiap hari, kecuali Sabtu dan Ahad, dan ulangannya pada pukul 9.00 pagi, pun setiap hari macam tadi. Eh, jangan buka tv pulak ye sebab rancangan ni dah pun berakhir, aku tak ingatlah pulak tarikhnya.

Rancangan yang menampilkan bakat-bakat kecil belasan tahun dari seluruh pelosok Malaysia, yang petah berpidato di atas pentas. Ini pun rancangan realiti tv jugak, mesti ada penyingkiran. Bezanya, ia tidak memerlukan undian. Mungin kerana masih hijau, dalam tempoh "percubaan", jadi aku kira, langkah ini memang tepat .

Aku yakin rancangan ini cuba mengikut sebuah rancangan realiti di Indonesia, "PILDALCIL" namanya. Konsepnya sama, berpidato dan kadangkala diselangselikan muzik. Memang tidak rugi menonton semua peserta kanak-kanak ini. Di kesempatan ini, aku ingin ucapkan jutaan tahniah buat JAKIM kerana berjaya menerbitkan rancangan ilmiah serupa ini. Aku yakin rakyat Malaysia boleh tertarik sebab mesej dakwahnya berunsur hiburan juga.

Malang sekali aku tak berjaya menaikturun video salah seorang finalis yang aku minat benar, Qayyim namanya. Orang Kelantan, suaranya sedap sungguh didengar. Dia insan istimewa, kerana tidak dapat melihat, tapi dia muncul tempat ke2, dek kerna kemahirannya yang pelbagai. Tahniah dik!

Aku berdoa, moga2 rancangan ilmiah sebegini akan lebih banyak diterbitkan, cukup2lah melambakkan penyanyi di Malaysia, bukan laku pun. Betul tak? :p

- Teringat kata salah seorang pengkritik "pidato ini tak semestinya untuk memberitahu, tapi untuk mencetus mahu".

Khamis, 18 Mac 2010

Mari Belajar Bahasa Inggeris

Lets understand these sentences:

1- I dont want to be like two peas in a pod
*look alike

2- He has been given the sack
*dismissed from the job

3- He is a wolf in sheep's clothing
*seems nicer than he really is

4- I've searched high and low for it
*all over

5-I can't stand this game.
*don't like

6-I'll give you a yell later.
*call you

7-No point crying over spoilt milk
*no use regretting something that has already been done

8-We hope the rain holds off until we finish.
* does not start

9- Why are you grinning from ear to ear?
* smiling broadly

10- Please dont breathe any words to him.
* don't say anything.

ok guys, thats all for today.Do you learn something ? I hope so.. =)
See ya!

Sumber:
Buku rujukan PMR

Rabu, 24 Februari 2010

Anda rabun?






Aku seorang yang memakai cermin mata, dalam kata lain, rabun atau tidak dapat melihat dengan jelas.
Memang jadi tidak selesa bila pandangan jadi kabur. Nikmat penglihatan seolah-olah ditarik Allah. Bukanlah kerana Dia tidak sayang hambaNya, tapi
sekadar untuk menguji.
Sewaktu berbual dengan pegawai JPJ yang menguji aku pemanduanku di jalan raya, dia ada
menyarankanku untuk membaca sepotong ayat,
katanya, untuk mengurangkan rabun.


Ayatnya berbunyi:

لَّقَدۡ كُنتَ فِى غَفۡلَةٍ۬ مِّنۡ هَـٰذَا فَكَشَفۡنَا عَنكَ غِطَآءَكَ فَبَصَرُكَ ٱلۡيَوۡمَ حَدِيدٌ۬
" Sesungguhnya kamu dalam kelalaian daripada (hal) ini, maka Kami (Allah) singkapkan dari pada kamu tutupan, maka penglihatan kamu pada hari itu amat tajam. "
(Sila rujuk ayat 22, surah Qaf)

Setiap pagi, sebaik bangun tidur, basuh muka, dan gosok kedua belah mata sambil membaca ayat ini. Cuba amalkan setiap pagi.
Tokok pegawai JPJ, dulu dia seorang yang rabun, tapi tidak perlu lagi bergantung pada cermin mata untuk melihat setelah mengamalkan ayat pendek ini. Ayah aku, umurnya sudah hampir mencecah 80 tahun, matanya tidak kabur, memakai cermin mata, apatah lagi.
Jadi, kalian yang rabun, bolehla mencuba. Kalau tidak ada perubahan, jangan melenting. Mencubanya tidak perlu sesen modal , kalau tidak dapat penglihatan yang jelas pun, setidak-tidaknya kita dapat pahala bertilawah...

Baik?


Baik


“Bariah, awak dah berpunya ke?” tanya seorang guru senior. “Mana ada,” jawab aku selamba. “Mustahillah orang baik macam awak ni takde orang nak”. Aku tergelak kecil.“Sapelah nak kat saye.” Kata aku, merendah dirilah kononnya.
Perbualan pendek aku titipkan sebagai pembuka kalam. Teman-teman, baikkah aku? Apakah kerana luaran aku yang bertudung labuh, mengajar subjek Pendidikan Islam dan dipanggil ”ustazah”, maka aku layak dilabel ”baik”? Baikkah seseorang itu kalau banyak melakukan maksiat? Ya, aku mengaku, hidup aku penuh dengan kemaksiatan cumanya belumlah sampai tahap berzina, fa nauzubillah..
Maksiat, yang aku faham, sebarang bentuk dosa dan perkara yang dilarang oleh Allah. Kalau Allah kata ”jangan berzina”, maknanya zina itu maksiat. Kalau Allah menyebut ”jangan hampiri zina”, maka perbuatan yang hampir kepada zina itu boleh jadi satu maksiat.
Mengumpat, mencari kesalahan dan membuka aib orang itu juga maksiat. Dan aku tidak terkecuali. Jadi, itu bukanlah baik namanya. Masih jauh lagi untuk ke situ, sungguh.
Emak pernah bertanya ”mana yang utama, budi atau rupa?”. ”Alah mak ni, bagi soalan senang sangat, mestilah budi.” Emak tersenyum. Memang, soalan yang diaju itu mudah tetapi aku yakin ada mesej yang mahu disampai, aku belum cukup ”berbudi”.
Aku lihat, kalau seseorang itu kurang cantik rupanya, tetapi elok akhlaknya, secara automatik dia akan kelihatan cantik pada pandangan sekeliling. Dan begitulah sebaliknya. Aku ambil contoh pelajar-pelajar di sekolah. Kalau yang mana buruk fiilnya:
”Amri mana satu?”
”Alah, yang gelap2 tu lah..!”
Tapi kalau yang mana elok perangai:
”alah, yang hitam manis tulah..”
Padahal si fulan yang dimaksudkan bukanlah setampan mana.. Begitulah berkuasanya akhlak dalam mencerminkan fizikal seseorang.

Habis aku? Agak-agaknya aku tergolong di mana ya? ”Sempurna di mata orang, belum tentu sempurna di mata Allah,” pesan seorang kawan, pernyataan yang aku kira sungguh tepat. Bagaimana pandangan Allah terhadap aku, hanya Dia yang berhak tahu.
Bukanlah dikira ”baik” jika pernah berduaan dengan lelaki yang bukan muhrim hingga boleh menimbulkan fitnah. Tidaklah dipanggil ”baik” jika selalu melengahkan sembahyang. Mana boleh digelar ”baik” jika suka mementingkan diri sendiri. Hakikatnya, itu adalah aku, yang tidak ramai tahu.

Tetapi jauh di dasar hati sesungguhnya aku teringin benar menjadi seorang hamba Allah, sebenar-benar hamba. Cumanya aku tidak ada kekuatan dan istiqamah. Memang begitulah aku, dari dulu.
Justeru aku menyeru, pada teman, pada rakan, pada sesiapa sahaja, tolong, bantu aku, ingatkan aku pada Allah agar aku tidak terus selesa dengan peribadi aku sekarang. Pimpinlah aku untuk menjadi insan yang baik, bukan kerana pujaan manusia, tapi untuk redha Allah..


Rabu, 27 Januari 2010

Jangan Lakukan Ini ya

Jangan lakukan!

Kawan-kawan, jangan lakukan ini selepas makan ya? :

1) Merokok
Sebabnya? menurut pakar, menghisap sebatang rokok selepas makan akan memberi peluang mendapat kanser.

2) Makan buah-buahan
Buah- buahan boleh menyebabkan kembung perut. Seeloknya, ia diambil setengah atau satu jam sebelum makan.

3) Minum teh
Daun teh mengandungi asid yang tinggi dan menyebabkan kandungan protein dalam makanan yang diambil sukar untuk dicernakan.

4) Melonggarkan tali pinggang
Ini kerana usus akan memulas jika tali pinggang dilonggarkan selepas makan.

5) Mandi
Mandi akan menyebabkan peningkatan aliran darah di sekitar perut dan melemahkan sistem penghadaman dalam perut.

6) Berjalan
Kenapa dilarang ya? Ia akan menyebabkan sisem penghadaman tidak dapat menyerap makanan yang ditelan.

7) Tidur
Ia boleh menyebabkan gastrik. Makanan juga tidak mampu dicerna dengan baik.

8) Terus minum air
Air yang masuk sejurus selepas makan boleh mengganggu proses pencernaan. Sebaiknya tunggu paling minimum 10 minit unuk membasah tekak.

Tambahan:
Jangan telan terus air waktu tegukan yang pertama, sebaliknya, biarkan ia selama 10 saat di dalam mulut. Air liur punya enzim yang membantu proses perkumuhan. Cubalah, dan rasai perbezaannya! =)

Sumber:
- RAPI, 15 Julai 2009, m/s 98
- Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah
- Senator Aziz Satar

Salam Permulaan

Assalamualaikum buat pembaca Muslim dan Salam sejahtera bagi yang bukan beragama Islam.
Izinkan saya berada dalam ruangan ini, untuk mencoret sesuatu, berkongsi pandangan dengan kalian..