Ahad, 18 Julai 2010

Aleeya Najihah

Aleeya Najihah
"Kau tak sihat Aleeya?"
"Eh, mana ada."
"Habis kenapa muram saja?"
"Takde ape lah.."
Syarha jeling Marwa. Marwa terus pandang ke lain.
"Hei, geng, apahal ni?" Fida datang tiba-tiba. Aleeya cebik muka. Hati jadi sakit, darah naik tak tentu hala. Aleeya beredar. Aleeya benci tengok muka Fida.
"Kenapa ni? apa yang tak kena?" Marwa cuba korek rahsia.
"Apa yang tak kena? Aleeya? Lantak dia lah. Sikit-sikit nak merajuk," dengus Fida.
"Ni mesti korang bergaduh lagi, kan?"
"Bosanla Wa. Aku angkat suara sikit je tadi, dalam kelas. Takkan itu pun nak ambik hati?"
"Alah Fida, Aleeya tu kan sensitif. Dia memang mudah sangat terasa, kecik hati. Nanti kau pujuk dia ye?" celah Syarha.
"Huh, tak kuasa aku!" Fida terus pergi. Syarha dan Marwa diam sahaja, tidak mahu perkara itu tambah kusut.
* * * * *
"Aleeya, bangun. Giliran kamu membaca kisah nabi hari ni."
Aleeya gosok mata. Arahan guru Fardhu Ain, kedengaran samar-samar.
Aleeya baca kisah Nabi Nuh sungguh-sungguh. Tapi cuaca hari itu agak suram. Ramai yang terlentok, tak mampu menahan mengantuk.
"Ok, sekarang beritahu saya, apa pengajaran dari kisah Nabi Allah Nuh ni? " Tanya Ustazah Faridah seusai Aleeya membaca ayat terakhir.
"Allah suruh kita jangan minum arak,' jawab Syafiq.
"Allah tak bagi kita bangun lambat, nanti terlepas Subuh," tambah Fizan.
"Erm,..nampak sangat tak mendengar. Sudah, semua bangun, pergi basuh muka."
Ustazah Faridah bukan pandai marah. Dia faham benar fiil pelajarnya. Tidak sampai hati mahu meninggi suara, apa lagi menyentuh fizikal mereka.
Namun sifat lembut beliau tetap disusuli tegas. Sebab itu Aleeya, Marwa dan Syarha takut untuk main-main sewaktu ujian.
* * * * *
Jam sudah pukul 9.00 malam. Pelajar asrama puteri SMK Al-Falah bergegas turun tangga. Sekarang waktu belajar. Aleeya berjalan sorang-sorang. Dia tidak kalut seperti biasa.
Marwa dan Syarha mencari Fida. Mereka memang kerap belajar bersama. Aleeya duduk di satu sudut, jauh dari kawan-kawan. Perasaan tidak senang pada Fida nampaknya beranak pinak. Benci. Meluat.
"Fida, kau belum pujuk Aleeya lagi ke?"
"Aku nak kena pujuk? Aku ada buat salah ke?"
"Takdelah, dalam hal ni, salah sorang kena beralah," Marwa cuba memberi cadangan.
Fida buka buku Matematik, capai pensil dan siapkan latihan. Syarha senyap sahaja, mengerti sungguh sikap Fida yang keras hati.
Malam itu Aleeya belajar tanpa teman, tiada perbincangan. Tidak mengapalah, asalkan tiada orang yang dia kurang senangi di sisi, itu sudah cukup buat Aleeya tenang hati..